Menara Merdeka 118 Malaysia Bakal Jadi Yang Kedua Tertinggi Di Dunia, Pertama Di Asia Tenggara
Bangunan pencakar langit bukanlah sesuatu yang asing di dunia. Menjadi lambang kepada sesebuah negara, tahukah korang di Malaysia bakal adanya satu menara yang bakal menjadi menara kedua tertinggi di dunia dan yang tertinggi di Asia Tenggara?
Dibina dengan peranan untuk merangsang ekonomi negara, menara ini dibina di bawah Projek Menara Warisan Merdeka 118 (PNB118) yang dijangka akan disiapkan pada awal tahun 2021.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad, menjelang akhir tahun ini, bangunan dengan keluasan 5.6 hektar dan ketinggian 630 meter ini dijangka sudah siap dibina antara aras 80 hingga 90.
Pembahagian tingkat:
- 83 tingkat ruang pejabat,
- 16 tingkat hotel mewah,
- 3 tingkat dek pemerhatian, dan
- 16 tingkat ruang kemudahan dan lobi langit
Dengan ketinggian 118 tingkat, tak mustahillah ianya berada di kedudukan belakang Burj Khalifa, Dubai yang masih lagi memegang rekod dengan ketinggian setinggi 829.8 meter.
Kalau nak tahu, reka bentuk bangunan ini jika diperhatikan mempunyai persamaan dengan imej perdana menteri, Tunku Abdul Rahman semasa melaungkan merdeka.
Pastinya dengan adanya menara pencakar langit ini, lebih ramai lagi pelancong luar yang akan datang ke Malaysia semata-mata untuk melihat sendiri bangunan ini kan?
Secara tak langsung, negara dapat menjana ekonomi dan daripada itu negara dapat dimajukan lagi pembangunannya.
Tak sabar nak tunggu ianya siap dibina!