IKEA Lancar Koleksi ‘Tikar Mengkuang’ Hipster
Suatu ketika dahulu, tikar mengkuang merupakan satu ‘perabot’ yang wajib ada dalam setiap rumah-rumah Melayu. Namun seiring dengan kemodenan zaman, seni berasaskan mengkuang seakan semakin hilang ditelah kemodenan.
Namun, IKEA Malaysia kini kembali dengan menawarkan produk berasaskan mengkuang yang telah disuntik elemen moden.
Selepas menjalinkan kerjasama dengan Virgil Abloh, IKEA Malaysia mengumumkan kolaborasi bersama jenama Thailand, GREYHOUND ORIGINAL. Koleksi yang diberi nama SAMMANKOPPLA ini diinspirasikan daripada interior design rumah-rumah Thailand yang sering menggunakan tikar mengkuang untuk perabot rumah.
Menurut pereka fesyennya, Bhanu Inkawat, beliau mahu gaya jalanan Bangkok dibawa ke serata dunia dengan sedikit aura moden menerusi kolaborasi bersama IKEA.
Menerapkan elemen moden dan tradisional, antara barangan yang terhasil daripada kolaborasi ini ialah tikar, beg, lapik kerusi, mangkuk, kusyen segi tiga, lampu tidur dan bekas simpanan kecil.
Sudah boleh dibeli secara online, harga yang ditawarkan untuk produk-produk ini serendah RM5.95 hingga RM159.
Untuk peminat dan pencinta seni mengkuang, jangan lepaskan peluang untuk kumpul koleksi terhad SAMMANKOPPLA dari IKEA ini.