Erra Fazira – Primadona Filem Melayu Sepanjang Zaman
Erra Fazira, satu nama yang tidak disangkal seorang selebriti yang mempunyai kecantikan yang awet muda sehingga hari ini. Bekas ratu cantik ini juga merupakan primadona Malaysia yang masih utuh dalam kelas tersendiri. Santai Sini kali ini sangat tertarik nak kongsi dengan uolls semua tentang Erra Fazira mana tahu ada new generation nak kenal dengan wanita yang pernah dilabel sebagai tercantik di Malaysia ini.
Fazira binti Wan Chek dilahirkan pada 9 Februari 1974 atau lebih dikenali sebagai Erra Fazira ialah seorang peragawati, pelakon, penyanyi, pengacara, penerbit dan bekas ratu cantik Malaysia. Dilahirkan dan dibesarkan di Rawang, Selangor, Erra memulakan kerjaya profesionalnya pada 1992 dengan menyertai pertandingan Ratu Cantik Miss Malaysia World 1992 dan memenangi gelaran tersebut.
Setelah itu dia mula diintai ramai penerbit lebih-lebih lagi apabila wajahnya banyak muncul di pentas peragaan dan kaca televisyen. Pada tahun 1993, Erra dipilih untuk membintangi filem arahan Yusof Haslam berjudul Sembilu di samping pelakon dan penyanyi popular Awie dan Ziana Zain. Tidak lama selepas penggambaran, Erra merakamkan album EP pertamanya yang menggunakan namanya sebagai judul album dan didahului dengan single sulungnya “Cinta Abadi” pada tahun 1994.
Pada tahun yang sama, Erra melancarkan kerjaya lakonannya dengan lakaran kejayaan apabila filem sulungnya itu mencatat kutipan pecah panggung, sejak itu beliau diberi jolokan sebagai “Primadona Filem Melayu Alaf Baru” sejak tahun 1994 hingga kini apabila deretan filem-filem lakonannya selepas itu turut mencatat kejayaan, suatu pencapaian yang sukar dicapai oleh mana-mana aktres tempatan selepasnya.
Erra telah muncul dalam beberapa filem terkenal termasuk Gerak Khas The Movie (2000), Janji Diana (2004), KL Menjerit 1 (2005), Cuci (2007) dan Polis Evo 2 (2018) dengan kutipan pecah panggung keseluruhan filemnya sudahpun mencecah RM100 juta. Menerusi dua buah filem, Soal Hati (2000) dan Hingga Hujung Nyawa (2004) , Erra telah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia.
Di dalam kerjaya muziknya, Erra telah menerbitkan sebanyak 6 album studio, 2 album EP serta beberapa album runut bunyi dan album himpunan. Sepanjang kerjayanya, Erra telah memenangi pelbagai anugerah di dalam kerjaya muzik, televisyen dan filem termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah Skrin.
Erra berkahwin sebanyak dua kali, iaitu bersama penyanyi Yusry Abdul Halim (kini berkahwin dengan Lisa Surihani) dari 2003 hingga 2006, dan perkahwinan keduanya bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin (kini berkahwin dengan pelakon Indonesia, Laudya Chintya Bella) dari 2007 hingga 2014, dikurniakan seorang anak perempuan bernama Engku Aleesya.
Erra kini terus dijulang sebagai Primadona Filem Melayu biarpun dibanjiri oleh ramai muka-muka baru, malah populariti Erra sebagai aktres terus harum dan dikenang sebagai aktres paling berpengaruh di dalam sejarah perfileman melayu. Erra bukan sahaja seorang aktres tetapi juga bakat serba bolehnya dikenang menerusi hasil kerjanya sebagai penyanyi, penciptaan lagu, pengarah muzik video, penerbit filem dan TV serta pengacaraan. Erra juga merupakan aktres yang menjana pendapatan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia. Sehingga 2009, kutipan keseluruhan filem lakonan Erra dikatakan berjumlah RM 76 juta.
Erra telahpun muncul dalam lebih 30 buah filem sepanjang 20 tahun penglibatan dalam bidang lakonan. Dia juga muncul dalam banyak drama televisyen ketika bergelar “Wajah Eksklusif Astro” sejak 2008.
- Sembilu (1994)
- Sembilu 2 (1995)
- Maria Mariana (1996)
- Maria Mariana 2 (1998)
- Soal Hati (2000)
- Pasrah (2000)
- Gerak Khas The Movie (2001)
- Mr. Cinderella (2002)
- Soalnya Siapa (2002)
- Mr. Cinderella 2 (2003)
- Cinta Kolestrol (2003)
- Janji Diana (2003)
- MX3 (2003)
- Kuliah Cinta (2004)
- Hingga Hujung Nyawa (2004)
- 7 Perhentian (2004)
- I Know What You Did Last Raya (2004)
- Potret Mistik (2005)
- Sembilu 2005 (2005)
- Lady Boss (2005)
- Gila-Gila Pengantin Popular (2005)
- KL Menjerit 1 (2005)
- Persona Non Grata (2006)
- Castello (2006)
- Qabil Khushry Qabil Igam (2007)
- Anak (2008)
- Sifu & Tongga (2009)
- Hidden (2011)
- Sanggul Beracun (TV, 2011)
- Ngorat (2012)
- Longkai (2013)
- Warna Cinta Impian (2016)
- Soulmate Hingga Jannah (2017)
- Dia Bidadariku (2017)
- My Darling, Inspektor Daniel (2017)
- Gerak Khas (2018-kini)
- Mak Cun 4 (2018)
- Hantu Kak Limah 3 (2018)
- Polis EVO 2 (2018)
- Wangi (2019)
Selain bergelar pelakon, Erra juga seorang penyanyi pop yang popular di Malaysia dan negara serantau. Beliau telah merakam 7 buah album studio yang mengandungi beberapa lagu hits yang menduduki carta teratas di Malaysia dan Indonesia. Beliau juga banyak merakamkan lagu-lagu runut bunyi untuk filem. Erra pernah membuat dua buah konsert solo iaitu pada 1999 di Kuala Lumpur dan 2006 di Perth, Australia.
- EP
- Erra Fazira (1994)
- Album studio
- Aku dan Dia (1995)
- 2.5 Sayang (1996)
- Kini (1999)
- Sampai Bertemu (2002)
- Kini Kembali (2003)
- Ya Atau Tidak (2006)