Abam – Hilangnya tiada ganti
“Kenapa kau pergi dulu Bam” antara luahan seorang rakan kepada Allahyarham Abam Bocey, Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam yang juga merupakan rakan seperjuangan sejak awal kumpulan Bocey diperkenalkan.
Seluruh negara hari ini meratapi pemergian seorang pelawak kesayangan ramai, Abam Bocey atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.30 pagi di kediamannya di Gombak, Selangor.
Abam yang berusia 32 tahun difahamkan meninggal dunia, dipercayai akibat demam panas.
Astro Awani melaporkan isteri Abam, Nor Hidayah memberitahu bahawa Allahyarham demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.
“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.
“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun dia tak ada tindak balas daripada dia,” katanya menangis teresak-esak.
Pemergian Abam adalah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak terutama dua rakan baiknya, Fad dan Achey.
Berdasarkan perkongsian dari Malaysia Kini, kedua-dua mereka memuat naik status yang penuh kesayuan sehingga menyentuh hati ramai warga net dan peminat setia kumpulan Bocey.
“Allahhuakbar, Allahhuakbar, Allahhuakbar, innalillahiwainnailaihirojiun.
“Kenapa kau pergi dulu Bam? Kenapa tak tunggu aku, aku jauh ni, aku nak peluk cium kau,” katanya sambil menangis.
Selain itu, Achey atau pemilik nama penuh Mohd Nasir Hamzah turut berkongsi perasaan sedih atas pemergian sahabatnya itu.
“Kenapa awal sangat Bam! Mana janji kau ! Ya Allah… guyss Abam dah tak ada guys,” katanya.
Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Abam Bocey dilahirkan pada 19 Januari 1988, merupakan seorang pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey bersama Fad Bocey dan Achey Bocey.
Allahyarham mempunyai seorang isteri, Nor Hidayah Mohd Ali dan seorang putera, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia lima bulan.
Tiada siapa dapat menduga malah menghalang ketentuan Ilahi, Abam seorang insan yang sentiasa mencuit hati kita tatkala di atas pentas mahupun di layar perak dan kaca. Hari ini dia buat kita menangis atas pemergiannya.
Industri lawak kehilangan sebutir lagi permata yang sedang bersinar. Moga Arwah dicucuri rahmat Ilahi. Tenanglah kau di sana Abam.