Gadis Wuhan tulis surat cinta pada dunia – Memang sedih!
Sekeping surat yang ditulis seorang gadis berasal dari Wuhan, China baru-baru ini meruntun hati ramai pembaca di dunia. Yuli Yang yang kini menetap di Hong Kong menceritakan situasi sebenar dirinya dan meminta agar dunia tidak mendiskriminasi warga China
“Nama saya Yuli Yang dan saya merupakan warga Wuhan yang kini menetap di Hong Kong. Ketika ini, saya terasing daripada kesemua ahli keluarga saya yang ada di Wuhan.
Setiap hari, saya risaukan keadaan serta keselamatan mereka. Bagaimana agaknya keadaan mental mereka? Mereka juga amat khuatirkan keadaan saya di sini yang sentiasa risaukan mereka.
“Sesiapa pun yang tinggal berjauhan daripada keluarga akan rasa perkara sama, apatah lagi jika keluarga anda tinggal di sebuah tempat yang sedang dilanda krisis,” tulis Yang.
Wanita yang kini bertugas sebagai seorang produser berita di Hong Kong menambah, dia cukup tertekan apabila China dilanda krisis sebegini.
Namun, dia juga bersyukur mempunyai rakan-rakan wartawan yang sama-sama tidak mengenal lelah dan terus melaporkan berita dan keadaan sebenar tentang coronavirus yang kini semakin parah.
Dia terus komited mengikuti perkembangan dan terus berjuang untuk melawan wabak corona virus ini.
“Saya faham dan menyokong tindakan dunia yang menghentikan penerbangan keluar dan masuk dari Wuhan serta kerajaan pelbagai negara yang menghalang rakyat Wuhan untuk datang ke situ. Ia sebagai langkah pencegahan.
“Namun, pada masa yang sama, saya berharap agar rakyat China tidak didiskriminasi.
“Saya faham virus ini memberi ketakutan dan juga membawa kematian. Orang ramai melihat jangkitan virus ini dapat merebak sehingga ke pelbagai negara lain dan mereka menjadi amat takut,” tulisnya.
Yang juga memberitahu, biarpun corona virus menimbulkan kegusaran dunia, ia juga sebenarnya menunjukkan bahawa bahawa kita semua begitu dekat berbanding apa yang kita fikirkan.
Yang juga turut menulis tentang badar Wuhan yang mungkin ramai tidak tahu.
“Di sekitar China, Wuhan cukup terkenal dengan hidangan mi yang cukup enak. Teksturnya yang menyerupai spageti akan direndam dalam sos hitam istimewa yang cukup rasa. Ia kemudian akan dihidangkan bersama hirisan daun bawang segar.
“Selain makanan, Wuhan juga dikenali sebagai kota yang dipenuhi tasik. Ia digelar “Daerah Seribu Tasik”.
Memandangkan ia dipenuhi tasik, bunga teratai tumbuh dengan mekarnya di Wuhan. Ketika musim panas, kelopak-kelopak teratai dari rona merah jambu dan dedaunan hijaunya cukup memukau, menjadikan kawasan atau kota Wuhan secara umumnya cukup Instagrammable.
Kongsi Yang lagi, siapa yang tidak kenal dengan lagenda tenis kota itu, Li Na. Nama Li Na cukup popular kerana dia sudah terlalu banyak emnerima penghargaan atas pencapaiannya.
“Terkenal dengan jolokan ‘Rebel Tenis China’ oleh akhbar New York Times, Na merupakan juara tunggal pertama Grand Slam China pada tahun 2011.
“Tahun lalu, figura hebat itu menjadi pemain kelahiran Asia pertama yang menyertai International Tennis Hall of Fame,” tulis Yang.
Yang kemudian menutup suratnya dengan pengharapan agar dunia tidak lagi terus mengecam Wuhan.
“Kisah-kisah kecil daerah Wuhan ini diharap dapat membuka ruang di hati kecil anda supaya kasihankan kami.
“Sokongan anda terhadap krisis ini diharap boleh memberikan semangat kepada mereka dan itu merupakan langkah pertama untuk menyembuhkan kita semua,” tulisnya.