Pelawak Jepun, Naomi Watanabe jadi duta Kate Spade New York
Di Jepun, nama Naomi Watanabe cukup dikenali memandangkan wanita tersebut merupakan seorang pelawak dan juga pereka fesyen terkenal di situ. Tertarik dengan keperibadian dan imej Watanabe, jenama fesyen terkemuka Kate Spade melantik Watanabe sebagai duta global mereka bagi tahun 2020.
Wah, excitednya min dengar. Bukan apa, kerana Watanabe cukup berbeza daripada duta jenama lain yang kebiasaannya kurus dan tinggi lampai.
Memiliki susuk tubuh yang agak gempal dan sama seperti wanita-wanita normal yang lain, pelantikan Watanabe dilihat sebagai sesuatu yang segar dan unik bagi jenama besar itu.
Pengarah Kreatif Kate Spade New York, Nicola Glass berkata, pelantikan Watanabe dilihat sangat bersesuaian dengan imej dan keperibadian wanita itu. “Di Kate Spade New York, tahun 2020 merupakan tahun perayaan untuk wanita.
“Kami meraikan kebebasan wanita dalam mengekspresi diri dan Watanabe dilihat sebagai individu yang sesuai bagi brand kami,” katanya.
Watanabe sebelum ini cukup terkenal kerana pernah meniru penampilan Beyonce Knowles dalam lagu Crazy in Love. Untuk itu, dia digelar Beyonce Jepun. Wanita ini juga memiliki label fesyen sendiri bernama Punyus.
Bukan itu sahaja, pemilihan Watanabe dilihat sangat bertepatan dengan personalitinya yang ceria serta lucu.
“Bagi kami, keperibadian Watanabe mewakili semua wanita di dunia kerana kelucuannya dan juga gaya hidupnya yang sesuai dengan brand Kate Spade,” jelas Glass.
Haa, Watanabe juga cukup popular di Instagram tau. Dia memilki seramai 9 juta followers!
Tidak hairanlah dia berjaya mengumpul jumlah pengikut yang ramai kerana penampilannya yang ceria serta caption lucu di Instagram memang mudah menarik orang ramai untuk menjadi followersnya.
Watanabe memuat naik beberapa foto kempennya bersama Kate Spade baru-baru ini dan lihat sahajalah ekspresi mukanya!
Wajah ceria dan cara Watanabe bergaya di hadapan kamera cukup menggambarkan dirinya yang lucu dan juga keperibadiannya yang ceria.
Memang cantik sangat gambar-gambar kempen Kate Spade New York kali ini.
Koleksi tas tangan jenama Kate Spade kali ini menampilkan warna-warna ceria yang telah menjadi identiti jenama terkemuka itu selama ini.