Elak Kerugian Lagi Besar, H&M Tutup Operasi 250 Cawangan Seluruh Dunia
Sudah bertapak dalam industri fesyen sejak 1947, syarikat fesyen gergasi, H&M kini sudah pun berjaya membuka lebih 5,076 buah cawangan di 33 buah negara di dunia.
Namun keadaan COVID-19 merubah segalanya.
Keadaan persekitaran ekonomi yang tidak menentu menyebabkan syarikat fesyen H&M terpaksa menutup lebih 250 buah cawangan mereka di seluruh dunia bagi mengelakkan kerugian.
Menurut sumber Business Insider, H&M mencatatkan kerugian hampir 50% daripada pendapatan bersih pada suku kedua 2020 iaitu sebanyak RM1.4 bilion. Pihak pengurusan pada awalnya hanya bercadang untuk menutup antara 130-170 buah cawangan mereka namun jumlah tersebut terpaksa ditingkatkan demi syarikat.
Akan memfokuskan pada penjualan secara online mengikut pada trend pembelian semasa wabak pandemik COVID-19, CEO H&M, Helena Helmersson menjelaskan syarikat akan terus melakukan perubahan dan mengadaptasikan sistem operasi syarikat ke arah perniagaan yang lebih fleksibel dan efisyen.
Butik berjenama seperti Zara turut mengalami kerugian akibat pandemik COVID-19 ini. Zara dilaporkan telah menutup hingga lebih 1,200 cawangan mereka di seluruh dunia bagi mengukuhkan jualan secara online sama seperti apa yang dilakukan oleh H&M selepas mencatatkan kerugian lebih RM1.97 bilion dalam suku pertama kewangannya.