Pentingnya Barang Kemas Dalam Hidup Wanita
Wanita dan barang kemas memang tak dapat dipisahkan. Tak kisahlah hanya sekadar sebentuk cincin atau seutas rantai tangan, ianya merupakan aksesori yang wajib ada sekurangnya satu pada setiap wanita.
Jadi pernah terfikir tak kenapa ini berlaku?
Bergantung kepada diri individu, barang kemas boleh membawa makna yang mendalam buat mereka. Aksesori seperti barang kemas seakan menjadi pelengkap kepada keseluruhan gaya atau pakaian.
Tak kisahlah yang berat atau ringan, dipakai disebabkan budaya, bagi wanita aksesori seperti barang kemas merupakan nilai tambah untuk mereka tampil lebih yakin dan elegan di khalayak ramai.
Bukan sekadar untuk perhiasan, ada wanita yang melihat barang kemas sebagai satu pelaburan kepada diri mereka selepas berhempas pulas bekerja.
Jika ianya merupakan hadiah daripada si suami, ianya membawa simbolik penghargaan atas penat lelah dan pengorbanan mereka sebagai isteri dan ibu.
Barang kemas mempunyai keupayaan dalam keterampilan personaliti wanita dan mampu menjadikan wanita tampil dalam keadaan terbaik mereka apabila dipakai pada waktu dan situasi yang sesuai.
Secara tradisionalnya, barang kemas merupakan simbol kepada prestij, kekayaan dan kuasa. Tapi itu mungkin relevan hanya pada masa dahulu. Zaman sekarang, gaya minimal menjadi pilihan wanita dalam segala aspek termasuklah daripada segi pemilihan barangan kemas.
Kredit gambar utama: Eduardo Sanchez