Khasiat Mandi Air Limau (Part 1)
Limau sememangnya menpunyai banyak khasiat. Selain dijadikan sebagai bahan masakan, ia juga sedap dibuat air. Walaupun begitu, limau juga mempunyai khasiat lain yang kita tidak tahu. Bila sebut tentang mandi limau, perkara pertama yang terlintas di fikiran anda pastinya amalan perubatan islam dan tradisional untuk menghilangkan sihir dan gangguan makhluk halus. Ini kerana mandi limau adalah sinonim dengan ritual tersebut.
Namun tahukah anda bahawa yang sebenarnya amalan mandi limau telah diamalkan sejak zaman nenek moyang kita dulu lagi kerana terdapat 1001 khasiat disebalik amalan mandi limau. Kadang-kadang akibat salah makan dan sebagainya menyebabkan badan kita penuh dengan angin justeru membuatkan badan kita berasa tidak selesa, lenguh sendi, sukar untuk tidur pada waktu malam dan sakit kepala.
Istimewa untuk anda hari ini kami akan kongsikan khasiat mandi limau yang tak ramai anak muda zaman sekarang tahu.
Menyegarkan badan
Salah satu daripada khasiat mandi limau ialah untuk menyegarkan tubuh badan yang lesu dan penat. Apabila anda balik dari kerja dalam keadaan yang penat, ditambah lagi dengan kepenatan menghadap kesesakan lalu lintas, mandi limau adalah satu hadiah untuk diri sendiri.
Aroma segar dari limau pastinya akan membuatkan anda terlupa sekejap tentang kepenatan yang dialami. Cara untuk menyediakan mandian limau adalah sangat mudah. Ambil beberapa biji limau, potong. Tak perlu potong terlalu nipis.
Masukkan limau tadi kedalam baldi atau besen yang berisi air. Perah limau supaya keluar airnya. Apabila mula mandi, selepas anda selesai bersyampu dan bersabun, basahkan badan dengan air limau tadi. Gosokkan kulit limau ke badan. Kemudia bilas dengan air biasa.
Menghilangkan sakit kepala
Kalau anda kerap sakit kepala, mandi air limau adalah sangat membantu. Ini kerana aroma harum dari kulit limau boleh mengurangkan kesakitan yang dialami.
Malah keasidan limau yang terkena kulit kepala boleh merehatkan pembuluh darah di kepala yang sedang membengkak dan terlalu sarat dengan aliran darah.
Menghilangkan sakit badan
Kalau anda selalu mengalami masalah sakit badan, lenguh-lenguh, dan terasa badan berat, mandi limau boleh membantu menghilangkan masalah yang anda alami.
Anda pernah dengar tentang mandi ais bersama limau? Ia adalah satu kaedah tradisional yang terbukti berkesan untuk memberikan badan yang ringan dan bebas dari sakit-sakit serta lenguh-lenguh.
Membuang angin dalam badan
Semakin kita berusia, biasanya tubuh badan akan mula meragam dan mudah dimasuki oleh angin. Badan yang berangin akan menyebabkan kita berasa tidak selesa.
Selain makan ubat klinik atau dibeli dari farmasi, salah satu ikhtiar yang boleh anda lakukan ialah dengan mandi limau. Cara mandi limau untuk menghilangkan angin adalah sama seperti yang kami nyatakan di atas tadi.
Menaikkan seri muka
Yang ini pasti ramai perempuan suka. Tahukah anda bahawa mandi air limau bersama kuntuman bunga membantu menaikkan seri muka dan menghadirkan aura positif yang akan membuatkan orang suka pada kita.
Mandian ini hanyalah alternatif dalam merawat sakit ringan yang kita alami. Jika sakit itu berlarutan, haruslah segera berjumpa dengan pakar yang berdekatan. Itulah dia info khas tentang khasiat mandi limau yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda.