Tak Ada Air, Satu Kerja Pun Tak Boleh Buat! Kenapa Selalu Berlaku Di Selangor?
Selangor dan masalah air memang tak dapat dipisahkan. Kalau sebut je tak ada air, semua orang akan tunding jari pada Selangor. Betul kan?
Belakangan ni makin kerap pula isu tak ada air di Selangor. Selesai satu isu timbul pula isu lain. Macam tak ada pengakhirannya. Sampaikan ada netizen yang bergurau suruh air Selangor ni berubat sebab asyik kena ‘gangguan’.
Antara masalah yang selalu jadi punca masalah bekalan air ni berlaku:
- Sisa toksik yang dibuang di sungai sebabkan pihak kilang nak jimat kos tak nak bayar untuk rawat sisa mereka
- Unsur sabotaj seperti yang pernah kerajaan Selangor maklumkan pada gangguan bekalan air yang berlaku pada awal November lalu. Namun ini masih belum dibuktikan lagi
- Paip usang yang kerap bocor dan pecah
Bila dah ada gangguan air memang susah sebab rutin terganggu. Iyalah nak mandi pun tak lepas. Kalau macam Zee yang bujang ni mungkinlah kurang sikit kot kesan dia berbanding yang dah berkeluarga.
Lagi-lagi bila ada anak-anak kecil. Susah juga nak bercatu air. Nak masak pun dah jadi susah. Bila nak makan luar, risau dengan keadaan persekitaran yang masih lagi tidak sihat ni. Nak membeli pun rasa tak berbaloi kalau anak-anak ramai. Besar belanjanya.
Yang berniaga pun susah jugak terutamanya berniaga kedai makan. Tak ada air macam mana nak beroperasi? Melainkan premis memang ada tangki air yang besar yang boleh digunakan tanpa rasa bimbang kalau gangguan cuma berlaku sehari dua.
Sampaikan ada peniaga terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan memasak dan mencuci pinggan mangkuk. Kos air mineral ni bukannya murah tau. Sampaikan kos operasi pun meningkat dan keuntungan pun menurun.
Untuk rakyat marhaen, masalah tak ada air ni memang membebankan. Nak pula zaman ekonomi dunia yang masih terumbang ambing dek COVID-19. Ada yang kena buang kerja dan sebagainya.
Isu tak ada air ni akan berkait dengan isu-isu lain terutamanya isu ekonomi. Nampak remeh, tapi kalau dikupas memang banyak impaknya kepada rakyat marhaen.
Jadi Zee setuju sangatlah dengan cadangan seorang Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak supaya keupayaan dan kepakaran agensi berkaitan pencemaran sumber air ni dipertingkatkan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
Walaupun Selangor sedia maklum dikenali sebagai negeri terkaya di Malaysia kerana ada pusat penjanaan ekonomi negara tapi realitinya kadar kekerapan bekalan air terputus di Selangor juga tinggi.
Bila sebut je masalah air dekat Selangor, korang kena faham ada tiga pihak yang bertanggungjawab menguruskannya, iaitu
- Pihak berkuasa tempatan (PBT) – Jaga pembangunan termasuk dekat kawasan tepi sungai
- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) – Jabatan kerajaan yang jaga punca air
- Air Selangor – Syarikat swasta yang ditugaskan untuk rawat air sungai dan bekalkan bekalan air mentah dekat pengguna
Jadi lepas tahu apa fungsi ketiga-tiga pihak ni, mungkin korang akan tahu siapa yang patut korang rujuk kalau punca kepada masalah gangguan bekalan air tu dah diketahui. Tak adalah asyik-asyik salahkan Air Selangor je.
Zee harap sesiapa yang duduk dekat kawasan Selangor, korang wajiblah sediakan tempat simpan air untuk kecemasan Almaklumlah air dekat Selangor ni macam Chipsmore.