Teruja Jumpa Ikan Nemo Jangan Sampai Tangkap! Ini Sebabnya
Siapa yang tak teruja bila boleh terjumpa ikan nemo (Clownfish) secara live yang selama ini hanya dapat dilihat menerusi animasi yang ditayangkan di TV je.
Namun, jika teruja pun janganlah sampai menangkap spesis ikan ini sehingga boleh memberikan ancaman terhadap mereka macam yang berlaku dekat satu gambar viral yang dipercayai berlaku di Pulau Redang, Terengganu.
Menurut Pensyarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Liew Hon Jung, akibat daripada ditangkap, ikan Clownfish boleh kehilangan arah untuk berpatah balik ke perumah asalnya dan terpaksa mencari tempat pelindungan baharu di kawasan terumbu karang terbuka.
Situasi tersebut secara tidak langsung memberikan mereka risiko diserang pemangsa.
Tetapi walaupun dah berjaya mendapatkan perumah baru (sea anemone), mereka berisiko dihalau akibat daripada perumah baru tersebut yang telah didiami keluarga clownfish lain seterusnya boleh membawa kepada kematian.
Untuk anak yang baru menetas dalam tempoh 14-21 hari turut berisiko mati sekiranya gagal menemui perumah untuk didiami.
Jika keadaan ini berterusan, maka kekurangan ikan Clownfish di perairan semula jadi di Malaysia tidak mustahil akan berlaku tidak lama lagi.
Menurut Hon Jung, spesis ikan Clownfish hidup secara simbiosis dan saling memberi manfaat bersama sea anemone yang mempunyai neurotoksin dan berupaya menyengat serta melumpuhkan mangsa atau pemangsa kepada ikan tersebut.
Clownfish hanya menjalankan aktiviti harian di sekitar sea anemone dan tidak berenang jauh untuk mencari makanan atau mengawan seperti ikan-ikan terumbu karang lain.