Kenali ‘Tukang Sapu’ Yang Kini Bergelar Tukang Jahit Terkenal Dalam Kalangan VVIP
Tak pernah terfikir untuk menjadi seseorang yang dikenali dalam kalangan orang kenamaan, seorang tukang jahit VVIP yang dahulunya bergelar tukang sapu langsung tak pernah menyangkakan nasibnya sebaik itu.
Diberi kepercayaan menghasilkan busana golongan VVIP, Tommy Yap, 61 tahun sudah pun berada dalam industri jahitan sut sejak 45 tahun yang lalu dan kini sudah 5 tahun menjadi tukang jahit untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menjahit sendiri sut, baju kemeja, seluar dan sebagainya untuk TS Muhyiddin Yassin, Tommy teruja memberitahu ianya adalah salah satu penghormatan besar buat dirinya walaupun pada awalnya beliau agak gementar apabila TS Muhyiddin Yassin sendiri datang ke butiknya untuk repeat sut dan pakaian lain.
Mengusahakan butik di Wisma MPL Kuala Lumpur, Tommy mendedahkan TS Muhyiddin Yassin ialah seorang yang mempunyai cita rasa dalam fesyen dan tahu mengenai pakaian yang sesuai untuk acara yang berbeza, selain daripada menggemari warna hitam, biru dan coklat untuk sutnya.
Tambah Tommy, TS Muhyiddin Yassin sangat mementingkan keselesaan dan mempunyai cita rasa klasik semasa menempah sut, namun tetap mengikut peredaran semasa fesyen – tidak memilih warna yang terhad kepada rona selamat suapaya kekal nampak menarik dan segak.
Selain Perdana Menteri, pelanggan tetap Tommy yang lain ialah Datuk Seri Hishammuddin (Menteri Luar Negeri) yang sudah pun menggunakan khidmatnya selama lebih dari 25 tahun. Malah pereka kasut terkenal, Datuk Jimmy Choo dan penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah pun menempah dengan beliau.
Mula memasuki industri fesyen pada tahun 1976 dengan menyertai butik Ali Tailor, tugas pertama Tommy pada ketika itu ialah menyapu sampah dan membersihkan bengkel menjahit. Selepas itu barulah beliau diajar cara mengukur dan memotong kain.
Pada awalnya, beliau bekerja dengan niat mahu melangsungkan kehidupan, namun kemudiannya sedikit demi sedikit rasa cinta pada bidang pembuatan sut datang dan pada ketika itu beliau tidak lagi menoleh ke belakang.
Baru dua tahun bekerja, Tommy kemudiannya dinaikkan gaji setaraf dengan tukang jahit senior selepas majikannya mendapati kemahiran beliau sudah setanding mereka.
Kunci yang membawa kepada kejayaan Tommy pada hari ini ialah beliau sentiasa positif dan tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan pelanggan kepadanya. Biarpun sudah memasuki usia 61 tahun, Tommy masih lagi belum mahu bersara. Kata beliau, selagi ada kudrat, beliau akan terus bergelar sebagai seorang tukang jahit.
Semoga kisah Tommy ini memberi inspirasi kepada kita supaya tidak berputus asa dalam kehidupan sekarang.
“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.”