15 Tahun Bersama Nike, Neymar ‘Berpaling Tadah’ Pilih Puma
Kata kunci #KingIsBack menjadi trending sejak akhir minggu lalu selepas Puma mengumumkan secara rasminya bahawa bintang bola sepak terkenal, Neymar Jr akan bersama mereka sebagai duta terbaru jenama tersebut.
Sinonim dengan jenama Nike, pengumuman tersebut nyata mengejutkan peminat. Keputusan meninggalkan jenama yang menaja beliau usia 13 tahun lagi bukanlah satu keputusan yang mudah kepada Neymar.
Namun ada beberapa sebab menyebabkan Neymar ‘berpaling tadah’ kepada Puma biarpun beliau sudah 15 tahun bersama Nike.
Kontrak yang ditawarkan Puma jauh lebih tinggi daripada Nike (USD105 juta) sehingga diklasifikasikan sebagai ‘kontrak tajaan individu paling mahal dalam industri sukan’. Dia punya mahal sampai berjaya mengalahkan nilai yang ditawarkan kepada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo!
Malah Neymar dalam satu temu bual mendedahkan penyatuan beliau dengan Puma adalah impiannya selepas membesar melihat lagenda hebat seperti Pele, Cruff, Eusebio dan Maradona melangkah membentuk karier mereka dengan menyarung jenama Puma.
Dijangkakan mampu menarik kelompok pembeli baru di Puma, pastinya Puma ada rancangan untuk melangkah lebih maju bersama Neymar.
Kredit gambar utama: Highsnobiety