Batik Malaysia ‘Terbunuh’ Kerana Harga
Isu harga batik Malaysia yang terlampau mahal menjadi satu topik perbincangan panas di media sosial minggu lalu.
Dalam perbincangan tersebut, ada pihak mendakwa harga batik di Malaysia yang terlampau mahal menyebabkan industri ini terbunuh di medan sendiri kerana rakyat lebih memilih batik jiran Indonesia kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah.
Bukan setakat rakyat Malaysia, malah ianya diakui sendiri oleh rakyat Indonesia yang merasakan harga sehelai batik di Malaysia sebenarnya mampu membeli berhelai-helai batik di sana.
Perbezaan ketara yang dapat dilihat antara batik Malaysia dan batik Indonesia ialah daripada segi kekerapan pemakaian.
Di Malaysia, batik seakan sesuatu yang eksklusif, yang mana ianya hanya dipakai di majlis-majlis formal tertentu, sedangkan di Indonesia, batik bukan sekadar dijadikan pakaian formal majlis tetapi juga digunakan sebagai pakaian harian dan pakaian sekolah.
Ada sesetengah rakyat Malaysia berpendapat, batik di Malaysia sentiasa berada di takuk lama dan tidak diinovasikan motifnya berbanding batik Indonesia yang sentiasa maju daripada segi pemilihan motif-motif komersial, warna sehingga menarik perhatian orang ramai untuk membeli dan memakainya.
Menurut pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat, beliau tidak menolak kemungkinan anak muda Malaysia lebih memilih batik Indonesia adalah kerana tidak tahu mengenai asal usul sesuatu corak atau motif batik tersebut.
Oleh itu, adalah wajar penggiat seni batik Malaysia melakukan kajian ke atas batik Malaysia supaya selari dengan taste dan minat anak muda kini. Dengan adanya pembaharuan, maka rasanya rakyat Malaysia akan lebih menyokong batik Malaysia daripada batik luar negara.
Kredit gambar utama: Neocha