Butik Dikritik Kenakan Denda Squats 300 Kali Jika Gagal Capai Sasaran Jualan
Sebuah butik di Singapura, Southaven dikritik selepas seorang bekas pekerjanya yang mahu dikenali sebagai Lin telah melakukan pendedahan mengenai ‘sisi gelap’ perniagaan tersebut sekiranya gagal mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.
Sebagai contoh jualan pada Tahun Baru Cina gagal mencapai sasaran dan mereka telah dipaksa melakukan 200-300 senaman jenis squats. Selain Lin, seorang bekas pekerja lain, Liu turut melakukan pendedahan dipaksa melakukan senaman squats antara Mei hingga September 2019.
Bukan setakat itu, pekerja juga dipaksa untuk melaporkan berat badan mereka setiap minggu dalam satu group chat yang dinamakan sebagai Fatty Club. Jika berat badan melebihi daripada apa yang ditetapkan, mereka akan dilarang untuk makan malam.
Menurut pendedahan yang dilakukan oleh media Shin Min Daily News, pekerja yang berat badannya naik akan dikenakan denda dan diletakkan untuk bekerja di bahagian gudang supaya tidak dilihat pelanggan.
Ada juga bekas pekerja yang mendakwa mereka terpaksa bekerja selama 12 jam sehari, cuti 4 hari seminggu dan diberikan rehat selama 20 minit.
Selain daripada kesalahan di atas, pekerja juga akan didenda antara RM3-RM15 sekiranya melakukan kesalahan kecil seperti:
- Mereka terlupa menutup pen
- Tidak mengambil pakaian dari bilik persalinan pada waktunya
- Terlupa menutup cerek elektrik atau terlupa mengisikannya semula
- Pelanggan keluar dari bilik persalinan tanpa membeli
- Sentuh mana-mana bahagian pintu kecuali pemegang pintu
Namun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Southaven dengan alasan senaman squats tersebut adalah idea daripada pekerja sendiri sekiranya mereka gagal mencapai sasaran jualan. Untuk penubuhan group chat Fatty Club pula mereka mendakwa ianya adalah sebagai motivasi untuk pekerja mengamalkan gaya hidup sihat.