Single lebih baik?
Memilih pasangan hidup tidak semudah memilih ikan di pasar. Pasangan yang baik pasti menjadi dambaan setiap insan untuk bersama-sama melayari alam rumah tangga hingga ke akhir usia. Namun, jika awalnya kelihatan sempurna, di tengahnya mula porak peranda dan akhirnya Si dia hilang entah ke mana. Tanpa khabar berita, pasti kita merana kan?
Oleh itu, kita perlu memilih pasangan yang betul agar kita tidak merasa kecewa di akhirnya. Baitulmuslim.com ada berkongsikan 4 Kesilapan Besar Dalam Memilih Pasangan Hidup. Mungkin girls di luar sana boleh menggunakan tips ini bagi mengelakkan dari tersalah memilih pasangan.
Menurut BaitulMuslim.com, jika tersilap pasangan sewaktu sedang bercinta, ianya mungkin tidak menjadi masalah untuk mengakhiri perhubungan tersebut namun, jika sudah berkahwin, bukan mudah untuk meminta ‘cerai’. Oleh itu, antara kesilapan besar yang boleh dielak dalam memilih pasangan ialah:
1. Tidak ada banyak pilihan dan sering sunyi
Kebanyakan orang yang salah memilih jodoh dan pasangan hidup mereka adalah akibat daripada tekanan hidup bersendirian dan sering sunyi. Mereka tertekan dengan keadaan sekeliling seperti kawan-kawan sudah berkahwin sedangkan mereka masih bujang dan bersedirian. Selain itu, mereka juga tidak mempunyai pilihan yang banyak dalam urusan jodoh.
Jadi, jalan yang diambil oleh golongan yang sunyi ini adalah mengambil calon suami atau isteri mereka secara tangkap muat. Ini adalah sesuatu yang sangat berisiko kerana mereka sangka mereka sudah melarikan diri daripada masalah, tetapi sebenarnya mereka bakal mengundang masalah yang lebih besar pada masa hadapan.
2. Si dia berubah apabila sudah berjaya mengambil hati anda
Lumrah seorang manusia, sebelum dapat banyak janji manis ditaburkan kepada pasangan. Tetapi apabila si dia sudah berjaya menakluki hati anda, maka masa inilah si dia akan berubah. Sifat-sifat aslinya kian terserlah sewaktu bercinta dan bertunang sehingga membuatkan anda mungkin rasa menyesal dan ingin mengakhiri perhubungan tersebut.
Jadi, sebelum terlambat fikirlah baik-baik, adakah anda sanggup untuk terus bersama sepanjang hayat anda dengan lelaki yang punya sifat begitu. Tepuk dada, tanya hati anda!
3. Tidak percaya dengan kata hati sendiri
Setelah anda berusaha bertanya kepada kawan mahupun keluarga anda sendiri, doa kepada Allah untuk meminta petunjukNya. Kemudian, dengarlah kata hati anda. Fikirlah sedalam-dalamnya dalam membuat sesuatu keputusan besar dalam hidup anda.
Jika anda sudah membuat semua perkara di atas, yang lainnya serahkan kepada Allah. Semoga pilihan anda adalah tepat dan betul. Menurut Baitulmuslim.com, setiap keputusan haruslah dinilai baik buruknya terlebih dahulu agar kita tidak tergesa-gesa menuju ke alam perkahwinan.
4. Cinta adalah segalanya buat anda
Walaupun cinta diperlukan dalam menjalinkan hubungan, namun masih ada perkara-perkara lain yang perlu anda pertimbangkan dalam menjalinkan perhubungan.
Cuba renungkan kembali, mungkin selama ini anda telah mengabaikan perkara-perkara yang terjadi di antara anda dan si dia dengan alasan kerana anda terlalu mencintainya. Sedangkan masalah tersebut perlu anda selesaikan agar tidak wujud masalah yang lebih besar. Sebenarnya perkara tersebut akan membuatkan anda menjadi lebih jujur terhadap diri sendiri dan pasangan.
Sememangnya, memilih pasangan hidup bukanlah semudah yang disangkakan. Ianya ibarat satu penentuan kebahagian dalam hidup anda. Jadi girls, jika mahu pasangan yang terbaik, elakkan terburu-buru dalam memilih pasangan hidup agar tidak tersalah membuat pilihan.
Sumber: BaitulMuslim.com