Berbuat Baik Sesama Insan
Dalam meniti dunia yang penuh cabaran ini, sering kali kita dihidangkan dengan berita jenayah atau salah laku manusia yang dilakukan. Hal ini menyebabkan masyarakat kita bersikap lebih berhati-hati dengan tidak terlalu mempercayai masyarakat sekeliling hatta jiran terdekat. Namun, masih ada insan-insan jujur yang berhati mulia yang membuat kebaikan tanpa mengharapkan balasan di penghujungnya.
Kisah yang diceritakan oleh Farah Nur Ayu di facebook group ‘Kami Penduduk Bentong’ ini menceritakan tentang kejujuran seorang Rider Foodpanda yang menghantar bungkusan miliknya yang tercicir di atas jalan yang berlaku di Bentong, Pahang.
Menurut Puan Farah, dia menerima panggilan dari seorang Rider Foodpanda yang dikenali sebagai Muhamad Shabri yang menyatakan bahawa beliau ingin menghantar bungkusannya yang tercicir ke rumahnya. Namun, ketika tiba di rumahnya , penghuni rumah tiada di rumah pada ketika itu lalu Muhamad Shabri menghantar pesanan ringkas kepada pemilik bungkusan dan memintanya untuk menghubunginya semula.
Tidak lama selepas itu, Puan Farah menghubunginya kembali dan beliau kembali ke alamat yang tertera di bungkusan itu untuk menghantar bungkusan itu kepada pemilik asalnya. Puan Farah juga menceritakan bahawa beliau cuba memberi upah kepada rider tersebut atas kebaikan dan kejujurannya namun Muhamad Shabri menolak.
Muhamad Shabri tidak menyangka kejadian itu akan menjadi viral kerana beliau juga takut jika kejadian itu akan memberi kesan buruk kepada syarikat kurier berkenaan. Beliau menyatakan keikhlasan beliau membantu kerana beliau juga pernah memesan barangan di atas talian dan memahami perasaan menantikan barangan yang dipesan tersebut.
Tambahnya lagi, kebetulan alamat pemilik bungkusan itu lebih dekat dengan tempatnya berbanding untuk menghantar kembali bungkusan itu ke pejabat kurier. Oleh sebab itu beliau mengambil keputusan untuk menghantar sendiri bungkusan itu kepada pemilik asalnya. Puan Farah turut berkongsi maklum balas dari syarikat kurier tersebut yang memohon maaf atas kecuaian yang berlaku.
Perkongsian dari Puan Farah ini jelas menunjukkan masih ada insan jujur dan prihatin yang sudi membantu sesama manusia dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan di kalangan masyarakat kita. Diharap kisah ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat di luar sana untuk terus bersikap jujur dan amanah tidak kira walau di mana sahaja kita berada.
Sumber: Facebook Group ‘Kami Penduduk Bentong’, FB Muhamad Shabri