Fikry Ibrahim kurangkan ambil peran drama
Korang kenal kan dengan Fikry Ibrahim, alaa pelawak yang helok tu. Min memang crush kat dia sejak dulu lagi. Auch haritu min ada peluang jumpa dia face to face, dup dap dup dap jantung nak tanya soalan so kisahnya ada cerita lah dapat min korek so ini adalah hasil apa yang min dapat lepas interview mr cekelat honey min ni jom baca sama-sama
Tahun 2020 membuka lembaran baharu buat selebriti dan pelawak, Fikry Ibrahim selepas dia kini melangkah setapak lagi sebagai co-founder untuk aplikasi anak khidmat penghantaran makanan kelolaan tempatan Go-Eat baru-baru ini.
Bagaimanapun disebaik kejayaan itu, Fikry yang popular menerusi telefilem Cekelat Semanis Honey dikatakan bakal kurang mengambil peran dalam projek drama rantaian@episod dan mahu memberi fokus kepada perniagaan baharunya selain bakal menjadi peneraju untuk satu projek filem bersama pelakon berbakat besar Nabila Huda.
Fikry ketika ditemui memberitahu bahawa dia kini mahu memberi fokus sepenuhnya dalam projek filemnya yang dilihat sebagai satu cabaran besar buatnya di samping tidak mahu terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk diri sendiri.
“Saya masih mempertimbangkan tawaran untuk telefilem namun bagi drama mungkin saya akan berehat buat sementara waktu. Cukuplah dahulu saya fokus dengan projek filem selain pembangunan aplikasi baharu ini yang pada masa sama membawa misi untuk membantu rakyat Malaysia.
“Saya melihat perniagaan dan dunia seni sebagai serampang dua mata untuk saya membangun dari segi lahiriah dan spiritual. Saya masih muda dan banyak yang perlu di pelajari pada masa sama saya juga mahu membina asas yang kukuh untuk masa depan,” katanya ketika ditemui Santai Sini baru-baru ini.
Jelasnya lagi, ditebak soalan bila mahu mendirikan rumah tangga, pemuda asal Jitra, Kedah itu memberitahu buat masa ini dia mahu memberi fokus kepada kerjaya memandangkan usianya kini baru berusia 25 tahun. Bagaimanapun dia tidak menolak jika dipertemukan dengan jodoh dalam masa terdekat.
Fikry juga memberitahu untuk tahun 2020 ini dia juga mengharapkan supaya diberi peluang untuk membawa peran dalam watak yang lebih mencabar. Jelasnya dia mahu mencuba watak lebih serius seperti berlakon dalam filem ketenteraan seperti Paskal.
“Saya kalau boleh ingin mencuba sesuatu yang baru dan mengembangkan lagi bakat saya dalam bidang lakonan. Bidang lawak, pengacaraan masih lagi saya lakukan namun saya masih akan dahulukan mana yang penting terlebih dahulu.
“Saya nak juga cuba berlakon filem ala-ala Paskal yang lebih serius dan berbeza daripada watak yang saya pernah cuba sebelum ini. Saya juga mahu belajar versatil dan tidak hanya tertumpu kepada watak yang klise setiap kali mengambil peran dalam projek lakonan,” ujarnya.
Trivia: Ahmad Fikry bin Ahmad Ibrahim dilahirkan 16 April 1994 adalah seorang pelakon, pelawak, pengacara, dan model Malaysia. Dia merupakan pemenang tempat ketiga dalam program Lawak Solo 2016 dan kini semakin dikenali ramai. Selain sebagai pelawak, Fikry juga merupakan seorang pelakon dan pengacara. Fikry paling dikenali menerusi gandingannya bersama penyanyi Siti Nordiana menerusi telefilem Cekelat Semanis Honey dan Cekelat Tak Semanis Honey, seterusnya muncul bersama drama Cekelat Honey.