Episod duka Puteri Balqis
Sejak beberapa hari ini baru ramai orang perasan ke mana hilangnya si cilik puteri air mata, Puteri Balqis atau mesra di panggil Aqish. Si cilik yang min percaya berjaya menyentuh hati ramai orang dengan lakonan yang sangat berkesan hingga berjaya mengangkatnya sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2014.
Setiap kali menonton lakonan Aqish ni min akan sentiasa siapkan tisu, even dalam muzik video Anuar Zain tu pun Aqish berjaya menyentuh hati. Bagaimanapun seperti yang ditayangkan dalam sebuah rancangan televisyen dan laporan laman-laman berita kisah kehidupan Aqish amat meruntun jiwa. Tiada siapa menyangka si kecil ini yang sudah berumur 13 tahun melalui kehidupan sukar lebih-lebih lagi selepas melalui tempoh sukar apabila disahkan menghidap masalah jantung dan terlantar sakit selama beberapa bulan.
Mungkin ada yang ingat pelakon berbakat besar seperti Aqish menjalani kehidupan yang selesa seperti artis-artis. Realitinya kehidupan yang dilalui Aqish umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Dalam satu laporan berita oleh Harian Metro, Aqish memberitahu, apa yang dilalui olehnya merupakan ujian hidup yang mengingatkannya supaya tidak mudah lupa diri.
Kongsinya dengan akhbar itu,
“Kami pernah susah dan senang. Perubahan secara tiba-tiba itu indah sebenarnya. Tuhan tidak mahu kami lupa diri.
“Apabila sudah kaya boleh beli beg dan kasut mahal. Tapi, apabila tiba-tiba jatuh, jadi kami syukur dapat ujian begini. Kami tak lupa diri. Terima kasih wahai pencipta kami.
“Kami pernah terputus makan dalam dua ke tiga hari. Tapi, tak pernah sampai seminggu. Masih dapat makan walaupun sedikit untuk kami isi perut. Kalau terputus, kami ikat perut. Kami kena berjalan juga jual buku. Apabila sudah cukup dan dapat jual buku, dapatlah kami buat makan,” katanya.
Menerusi sebuah program televisyen, dipaparkan bagaimana Puteri Balqis menjual buku ‘38 Poems Of Puteri Balqis’ hasil tulisannya di sekitar Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni atau Jalan Petaling di ibu negara.
“Kalau tak banyak jualan hampa sikit. Tapi, tidak mengapa, ujian itu indah,” katanya.
Meskipun masih dalam fasa membesar, di usia 13 tahun Aqish sememangnya kuat semangat. Meskipun pernah berada di puncak dia tidak sesekali menyalahkan takdir saat terjatuh kembali ke bumi.
Min pun sebenarnya rindukan penampilan Aqish di dalam layar kaca dan perak. Rindu lakonan Aqish yang sangat natural. Gais kalau korang nak kenal lagi Aqish ini min kongsikan latar belakang dia sikit.
Aqish atau nama penuhnya Puteri Balqis binti Azizi dilahirkan pada 12 April 2007 merupakan seorang pelakon dan model komersial kanak-kanak Malaysia. Aqish membuat penampilan televisyen pertamanya menerusi peranan pembantu dalam Gemilang (2011), sebelum meraih peranan utama dalam Bicara Hati (2012). Balqis telah membintangi beberapa drama TV terkenal termasuk Takdir Qismah (2012), Astana Cinta Aleesa (2014) dan Akulah Balqis (2015) serta telah membintangi beberapa telefilem termasuk Aduh Sayang (2011) dan Pelarian (2012). Melalui drama Pelarian, Aqish telah dicalonkan di Anugerah Skrin 2012 menerusi kategori Anugerah Artis Harapan Pantene dan telah memenangi anugerah tersebut. Ia merupakan satu penghormatan buat Aqish apabila hampir keseluruhan drama tersebut telah diadaptasi dari kisah hidupnya sendiri.
Penampilan filem sulung Aqish ialah pada 2012 menerusi filem Strawberi Cinta (2012). Sejak itu, dia muncul dalam beberapa filem yang diiktiraf secara kritis termasuk 1 Lawan Satu (2013), Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! (2016) dan KL Special Force (2018). Kejayaan Aqish hadir pada 2014 apabila Balqis memenangi Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Televisyen Asia 2014 menerusi telefilem Balqis lakonannya. Pada Jun 2018, Harian Metro juga menyenaraikan Aqish sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang meraih pengiktirafan di peringkat global.
Semoga Aqish dan keluarga diberikan kemudahan dan kesenangan dalam kehidupan dan kembali aktif menjdi sebahagian dalam kehidupan kita menerusi lakonan mantap di layar kaca dan layar perak.