Batik simbolik fabrik Nusantara
Sebut pasal batik sudah tiada yang lain lah, hanya kain batik yang merupakan fabrik Nusantara dan satu-satunya dalam jenis tersendiri. Setiap wanita pastinya mempunyai simpanan kain batik sendiri dan lelaki sudah tentu mempunyai koleksi baju batik.
Sama ada di Malaysia dan Indonesia, batik menjadi identiti yang dikenali bukan sahaja di Nusantara malah seluruh pelusuk dunia. Dengan rekaan yang pelbagai daripada klasik hingga moden, Batik masih relevan sehingga kini dan menjadi pilihan golongan muda sehingga dewasa. Santai Sini nak kongsi sedikit dengan anda flashback sikit tentang sejarah kain batik ini untuk kita sama-sama tambah ilmu.
Batik berasal daripada perkataan Jawa “amba” yang bermakna menulis, dan “nitik” yang bermakna membuat titik. Batik merujuk kepada kain yang mempunyai corak yang terang dan menarik. Batik terdapat dalam pelbagai bentuk, antaranya ialah batik tulis, batik skrin, batik celup, dan batik terap. Teknik batik telah diketahui selama lebih seribu tahun, kemungkinannya berasal dari Mesir kuno atau Sumeria.
Ia terdapat di beberapa negara di Afrika Barat seperti Cameroon, Mali dan Nigeria; atau di Asia, seperti Jepun, Bangladesh, India, Indonesia, Iran, Malaysia, Sri Lanka dan Thailand. Batik telah menjadi sebahagian daripada budaya dunia terutama di Nusantara, dan sejak lama, merangkumi negara-negara Asia Tenggara.
Batik Indonesia, sebagai keseluruhan teknik, teknologi, serta pengembangan motif dan budaya yang terkait, oleh UNESCO telah ditetapkan sebagai Warisan Kemanusiaan untuk Budaya Lisan dan Nonbendawi (Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity) sejak 2 Oktober 2009.
Pada masa ini, terdapat corak-corak baru yang dikenali sebagai batik moden bagi memenuhi cita rasa pengguna yang sentiasa berubah-ubah, tetapi batik tradisi turut masih dihasilkan.
Awalnya batik dibuat daripada kain putih yang terbuat daripada kapas yang disebut kain Mori. Hari ini batik juga dibuat pada bahan lain seperti sutera, poliester, rayon dan bahan sintetik lain. Motif batik dibentuk dengan lilin cecair dengan menggunakan alat yang dipanggil canting untuk motif halus, atau berus untuk motif yang besar, supaya cecair lilin meresap ke serat kain. Kain yang dicat dengan lilin kemudian dicelup ke warna yang dikehendaki, biasanya bermula dari warna terang. Penyerapan kemudian dilakukan untuk motif lain dengan warna yang lebih gelap dan ke atas. Setelah beberapa proses pewarna, kain yang telah menjadi batik dicelupkan dalam bahan kimia untuk membubarkan lilin.
Baju batik di Indonesia
Pada awalnya baju batik kerap dikenalkan pada acara acara rasmi untuk menggantikan baju jas. Tetapi dalam perkembangannya pada masa Order Baru, baju batik juga dipakai sebagai pakaian rasmi pelajar sekolah dan pegawai negeri (batik Korpri) yang menggunakan seragam batik pada hari Jumaat. Perkembangan selanjutnya, batik mulai bergeser menjadi pakaian seharian terutama digunakan oleh kaum wanita. Pegawai swasta biasanya memakai batik pada hari Khamis atau Jumaat.
Baju batik di Malaysia
Mulai 17 Januari 2008, semua kakitangan awam lelaki di Malaysia dikehendaki memakai baju batik Malaysia pada setiap hari Khamis. Sebelum ini peraturan memakai baju batik hanya pada hari Sabtu sahaja. Hari pemakaian baju batik ini kemudiannya diubah kepada 1 hari bulan dan 15 hari bulan. Akan tetapi, orang ramai mudah lupa menyebabkan pengembalian semula kepada sistem lama berdasarkan hari.