Nassier Wahab dalam kenangan
Hi korang, siapa sini kenal dengan Dato’ Nassier Wahab? Sehingga hari ini pemergiannya pada tahun lalu masih terkesan dan mengejutkan. Namun siapa sangka kali terakhir kita melihat Nassier sihat walafiat namun secara tiba-tiba diberitakan tentang pemergiannya.
Bagaimanapun Santai Sini sebenarnya nak kongsikan kepada anda serba sedikit profil Nassier Wahab yang mana merupakan salah seorang anak seni yang cukup berbakat besar. Suaranya yang sedap didengar dan wajah awet muda sentiasa menjadi inspirasi ramai pihak.
Dato’ Mohd. Nasir bin Abd. Wahab atau lebih dikenali sebagai Nassier Wahab dilahirkan pada 18 April 1962 di Kota Kuala Muda, Kedah. Rumah keluarganya terletak di Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Nassier merupakan anak ke-12 daripada 14 orang adik-beradik . Dia juga merupakan seorang penyanyi dan pelakon yang dikenali di Malaysia. Kejayaan Nassier dalam bidang muzik hadir apabila dia dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) pada tahun 1987 dan 2004. Penyanyi yang seangkatan dengannya ialah Shidee, Razis Ismail dan Jamal Abdillah.
Nassier berduet dengan penyanyi Ramlah Ram bagi album Sekali Aku Jatuh Cinta pada November 1988 dengan irama pop dan irama Nusantara. Album Suara Hati telah diterbitkan oleh Ramli M. S. pada tahun 1992. Album ke-13 Nassier berjudul Ke Puncak Persada. Album Memori Cinta Luka ialah terbitan syarikat MCAT Sdn. Bhd (2004).
Sepanjang karier sebagai penyanyi Nassier kerap menyanyi di kelab malam di Kelab Diraja Selangor, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Dia pernah berlakon dalam filem Si Jantung bersama A. R. Badul, Ibrahim Din dan Faridah Fasha. Dalam drama Episod Terakhir, Nassier bergandingan dengan pelakon Eman Manan dan Sheila Rusly.
Dalam usaha untuk meningkatkan kerjayanya, Nassier telah melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik dan memiliki sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Kolej Joseph Chamberlain, Birmingham, United Kingdom.
Nama Nassier dalam industri seni juga sering tenggelam timbul memandangkan dia banyak memberi fokus kepada keluarga selepas berkahwin. Namun, semua peminatnya masih mengingati Nassier kerana dia merupakan artis yang dikatakan awet muda dan kekal tampan.
Kemunculan dengan single Memori Cinta Luka melonjakkan nama Nassier dalam industri Muzik pada tahun 2004 dan lagu itu juga menjadi hits pada ketika itu.
Pada tahun 2008, Nassier menjadi bualan ramai selepas tersebar berita dia dimasukkan ke ICU dan menerima rawatan rapi daripada doktor di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC). Dia dikatakan cedera setelah rumahnya di USJ terbakar akibat litar pintas. Semasa kejadian, isterinya, Datin Fatimah Abd. Rauf (ketika itu berumur 45 tahun) dan anaknya, Intan Najihah (ketika itu berumur 11 tahun) tiada di rumah.
Setelah sekian lama menyepi Nassier kembali dalam kancah industri selepas menyertai pertandingan realiti Gegar Vaganza pada tahun 2015. Berjaya meloloskan diri ke peringkat akhir, Nassier kembali menjadi sebutan kerana menjadi peserta yang konsisten dan sentiasa memberikan persembahan terbaik. Dia berjaya meraih tempat keempat dan membawa pulang wang tunai RM15,000 dan hadiah lain.
Lagu-lagu yang dipersembahkan Nassier Wahab semasa Gegar Vaganza Musim ke-2
Minggu 1: Sekali Aku Jatuh Cinta (lagu sendiri)
Minggu 2: Kau Pergi Jua (nyanyian asal Adam Ahmad)
Minggu 3: Kau Pergi Tanpa Pesan (nyanyian asal Datuk M. Daud Kilau)
Minggu 4: Jangan Ada Dusta Di Antara Kita – duet bersama Rohana Jalil (nyanyian asal Broery Marantika & Dewi Yull)
Minggu 5: Di Pintu Syurga (nyanyian asal Dayang Nurfaizah)
Minggu 6: I’ll Be There (nyanyian asal The Jackson 5)
Minggu 7 (suku akhir): Camellia 2 (nyanyian asal Ebiet G. Ade)
Minggu 8 (separuh akhir): Biar Putih Tulang (nyanyian asal Dinamik)
Minggu 9 (akhir): Tugasan Pertama – Gelombang Cinta (nyanyian asal Heavy Machine) dan Tugasan Kedua (battle vs Farahdhiya) – Ooh! La! La! (nyanyian asal KRU)
Tahun lalu kita dikejutkan dengan pemergian Nassier yang menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 12:45 pagi pada 5 Disember 2019 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya akibat kanser gusi.
Kehilangan Nassier memberi kesan kepada banyak pihak yang sehingga kini merindui kemunculannya di pentas muzik. Moga Nassier ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Berikut merupakan buah tangan Nassier Wahab dalam industri hiburan tempatan.
Album studio
Cinta dan Perasaan (1985)
Memori Cinta Luka (2004)
Lagu-lagu
“Bayangan Wajah Duka”
“Sebuah Janji Tak Bereti”
“Sekali Aku Jatuh Cinta”
“Undangan Rindu”
“Memori Cinta Luka”
Filem
Si Jantung (1987)
Televisyen
Episod Terakhir (2006)
Penghargaan
Pada 15 Mei 2017, beliau dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang membawa gelaran Datuk.