Pad Thai : Menyatukan Bangsa Thai Dengan Lidah Dan Perut

Thailand merupakan destinasi pelancongan paling popular di Asia Tenggara. Sama ada pulau seperti Phuket, peninggalan sejarah seperti Ayutthaya, dan pelbagai jenis tarikan. Akan tetapi, ramai yang tidak tahu mengenai sejarah kemunculan pad thai ini.
Sejarah pembuatan mi bermula di China kira-kira 4,000 tahun yang lalu di tebing sungai Huang He. Mi diperbuat daripada gandum yang tepungnya diuli dan dibuat bentuk tirai untuk memudahkan orang untuk makan. Penemuan mi purba di tapak sejarah Zaman Gangsa Lajia membuktikannya.
Dan apabila resipi ini berasimilasi dengan lidah orang Thai, maka secara perlahan-lahan ia dianggap sebagai makanan Thai.
Pada zaman Perang Dunia Kedua, Thailand mengalami kekurangan beras akibat embargo import oleh tentera Berikat kerana Bangkok memberi kerjasama kepada Jepun. Perdana Menteri Thai ketika itu, Plaek Phibunsongkram baru sahaja menamatkan pemerintahan monarki mutlak dan baru sahaja mendraf Perlembagaan baru Thailand. Nama asal Siam ditukar untuk lebih moden, disamping identiti moden untuk bangsa Thai, termasuklah makanan.
Phibun merupakan seorang strongman. Dia mahu melihat Thai sebagai sebuah negara bangsa seperti di Eropah, dengan berinspirasi daripada Perancis, semasa muda beliau menuntut pelajaran di situ sekitar tahun 1914 semasa Perang Dunia Pertama.
Dengan kekurangan beras (Siam walaupun pengeluar beras, tetapi beras masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk kerana kekurangan teknologi), Phibun memikirkan bahawa mi beras adalah satu cara untuk mengurangkan konsumsi beras dari kalangan rakyat.
Phibun juga mahukan resipi identiti nasional ini kaya dengan protein agar rakyatnya sentiasa sihat dan cergas. Dengan menggunakan bahan tempatan seperti udang, telur, kerang dan kacang, ia lebih murah daripada daging lembu atau babi, dan ia boleh dimakan tidak kira bangsa agama. Selain itu, sentimen daging babi sebagai ‘makanan Cina’ juga menyebabkan orang Thai pada ketika itu mengelak daripada menggunakan daging tersebut. Jabatan Kebajikan Masyarakat Thailand memberikan pad thai kepada rakyat dan menggalakkan peniaga untuk masak juadah ini sebagai tanda nasionalisme dan cintakan tanah air. Ini kerana dengan makan jumlah beras yang sedikit serta makan makanan yang datang dari tanah air sendiri, pad thai adalah simbol ketahanan bangsa Thai di zaman perang.
Dengan cara masakannya yang mudah, murah, cepat dan berkhasiat, pad thai terus popular sehingga ke hari ini. Hari ini di mana-mana gerai tepi jalan di Thailand ada jual pad thai. Jadi kami kongsikan resepi untuk menyediakan menu pad thai ini.
RESIPI PAD THAI
Kuey teow Thai (nipis, diperbuat daripada beras)
Udang
Telur 2 biji
Bawang putih 3 ulas
Bawang merah suku biji
1 sudu besar pes cili
1 sudu besar nampla
1 sudu besar air asam jawa
1 sudu besar kicap
1 sudu besar sos tiram
Garam gula
Minyak masak
Tauge (jika suka)
CARA-CARA :
1. Campurkan semua sos tiram, gula, kicap, AAJ, dan kacau sampai rata.
2. Panaskan minyak, dan gaulkan bersama kuey teow dan sos sehingga rata.
3. Ketepikan kuey teow dan tumis bawang putih, merah dan cili padi.
4. Tumis hingga terbit bau. Kemudian barulah masukkan pes cili.
5. Kemudian goreng udang bersama sos (kalau nak goreng udang awal-awal pun boleh juga), sebelum gaulkan bersama kuey teow tadi.
6. Kemudian masukkan garam dan tabur kacang, taugeh dan daun kucai dan hidangkan.
** kacang di tumbuk kasar, kemudian di goreng tanpa minyak sehingga terbit bau.
Sejarah mengenai pad thai dan resepi ini telah dikongsikan oleh Puan Eleena M. Selamat mencuba!