Naqiu – Kisah perjuangan seorang ahli muzik sejati
Bagi mereka yang membesar dalam era 90-an pastinya mengenal sosok selebriti ini yang dahulunya popular dengan boy bandnya, Boboy. Tak lain tak bukan Naqiu yang kini cemerlang dalam pertandingan realiti Gegar Vaganza. Siapa sebenarnya si Naqiu ni sejak dia menghilang dari industri kemunculan semulanya mencetuskan semula kenangan peminat-peminat yang dahulunya mengenalinya sebagai seorang remaja.
Lagu Episod Cinta merupakan debut yang melonjakkan nama Naqiu dalam industry muzik tempatan. Meskipun perlu bersaing dengan kumpulan remaja popular Newboyz, Naqiu mempunyai kelompok peminatnya sendiri yang mengangumi kecomelan Naqiu semasa zaman remajanya.
Sedikit sebanyak tentang Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin bin Wan Najib atau lebih dikenali sebagai Naqiu merupakan vokalis kumpulan Boboy iaitu band yang terkenal di awal tahun 2000an. Naqiu pernah menyepi selama 12 tahun daripada industri muzik berikutan komitmennya kepada keluarga dan menumpukan kerjayanya sebagai penyanyi kelab sebagai punca rezeki pendapatannya ketika itu.
Naqiu adalah salah seorang bekas vokalis kumpulan Boboy yang pernah menempa populariti lebih sedekad lalu. Dia mula aktif dalam dunia hiburan sejak tahun 2001. Mereka mengetengahkan muzik bergenre pop di awal kemunculan. Mereka juga pernah melakar nama setanding kumpulan remaja popular lain seperti New Boyz, Spin dan Antz.
Album sulung mereka berjudul Episod Cinta pada tahun 2001 mendapat kutipan dalam anggaran melebihi 30,000 unit. Diikuti penerbitan album kedua mereka, Antara Remaja Dan Dewasa pada 2003 yang beralih kepada konsep muzik pop rock. Bagaimanapun, album ketiga berjudul Masih Mencari pada 2005 mula menerima sambutan hambar.
Naqiu mendedahkan ketika zaman populariti kumpulan tersebut telah menerima tawaran yang banyak hingga mencecah hingga empat ke lima persembahan dalam sehari. Antara lagu-lagu hits mereka ketika itu adalah seperti Episod Cinta, Janji Seorang Kekasih, Dalam Benci Ada Rindu, Demi Masa, Bangkitlah dan banyak lagi. Tidak hanya menyanyi, kumpulan Boboy turut menceburi bidang lakonan menerusi pembabitan dalam telefilem Boboy The Movie pada 2001. Di penghujung kontrak bersama syarikat rakaman, Naqiu mula menyara kehidupan di kelab malam sebagai penyanyi berikutan ketika itu dia sudahpun berkahwin dan berkeluarga.
Menerusi wawancara santai Begitu Begini yang dihoskan oleh DJ Nazz telah menjemput Naqiu untuk berkongsi kisah kejatuhan dan kebangkitan penyanyi lelaki ini dalam industri hiburan yang mungkin ramai tidak tahu.
Dalam temu bual yang berdurasi 15:39 minit ini menyaksikan Naqiu memberitahu tentang kekesalannya pernah jatuh dalam industri muzik. Dia menyalahi kesilapan yang pernah dilakukannya ketika baru berkecimpung di dalam industri muzik tempatan
Menurutnya, beliau bekerja dengan nama-nama besar seperti Ujang, arwah Aub dan Stone Amuk tetapi tidak megambil sebarang input yang berguna ketika itu. Waktu itu, beliau hanya datang ke studio untuk membuat rakaman seperti yang disuruh tanpa mempelajari dengan lebih mendalam berkaitan muzik.
Naqiu turut berkongsi kehidupannya selepas membuat keputusan untuk keluar dari industri dan menjadi penyanyi di kelab.
Menurutnya lagi, kebanyakan pembelajaran yang diterima beliau adalah dari kelab. Beliau turut mendedahkan bahawa tujuannya memasuki rancangan realiti Gegar Vaganza ini bukan semata-mata hanya untuk membuat comeback tetapi beliau ingin membuktikan pada senior-senior dalam industri muzik yang pernah menghinanya dahulu bahawa beliau layak untuk berada di dalam industri tersebut.
Naqiu bersama tiga lagi anggota asal kumpulan berkenaan pernah muncul dengan single baharu berjudul Hukum Aku, sebagai isyarat kemunculan semula mereka sekitar dua tahun lalu.
Bagaimanapun, bukan nama Boboy yang digunakan mereka ketika itu, sebaliknya Six Years, sebagai simbolik enam tahun masing-masing membawa haluan sendiri.
Namun pada tahun 2019 nama Naqiu Boboy kembali menjadi sebutan apabila dia membuat kemunculan semula secara solo dengan tampil sebagai salah seorang peserta dalam Gegar Vaganza musim ke-6. Naqiu menerima tawaran Astro untuk menyertai Gegar Vaganza setelah didesak oleh rakan-rakannya yang juga merupakan bekas ahli kumpulan Boboy.
Bagi sesiapa yang menonton persembahan Naqiu pada GV kali ini perbezaan yang ketara adalah pada suara Naqiu. Suara yang dulu ala-ala tidak pecah berbeza sekali dengan suara sekarang yang serak-serak basah. Persembahannya yang juga konsisten setiap minggu selalu mendapat komen positif daripada para juri. Buktinya Naqiu kerap berada di kedudukan yang selesa setiap minggu dalam program tersebut sehingga dinobatkan sebagai juara bersama untuk program popular itu bersama Hady Mirza.
Sudah adat menjadi selebriti, kemunculan Naqiu dalam lensa hiburan tidak terlepas daripada dipalit kontroversi. Baru sahaja kembali membuat kemunculan, Naqiu didakwa pernah berkahwin dua tetapi sudah menceraikan isteri pertamanya.
Naqiu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa ia tidak masuk akal. Naqiu juga menyifatkan tuduhan dia bertindak kejam menceraikan isteri pertamanya atas hasutan isteri kedua adalah sangat kelakar. Enggan melatah, penyanyi itu berkata dia berlapang dada menerima perhatian yang diberikan.
Malah, hubungan rapatnya bersama vokalis Visa, Sham turut menjadi bualan yang mana netizen menyifatkan sebagai terlalu mesra. Menurutnya menerusi laporan akhbar Berita Harian, aksi mesra dan manja antara Naqiu dan Sham yang dikongsi di laman sosial, mencetuskan spekulasi peminat terhadap hubungan mereka.
Menyifatkan hubungan dengan vokalis kumpulan Visa itu persis adik dan abang, Naqiu atau nama penuhnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 33, tidak kisah dengan spekulasi netizen.
Baginya, netizen hanya menilai tanpa tahu kedudukan sebenar.
Nampaknya, kembalinya Naqiu dalam industri bukan sahaja mahu membuktikan kemampuannya dalam industri muzik tetapi mencerminkan sisi matangnya sebagai seorang yang dewasa dan seorang selebriti dengan kredibiliti dalam liga tersendiri.