Sejarah Nasi Minyak
Wah! Musim cuti sekolah ni, ada dua keraian berlangsung dalam masyarakat kita. Yang pertama ialah musim berkhatan, tapi yang lebih popular ialah musim perkahwinan.
Dan nasi minyak sering menjadi menu menjamu tetamu yang hadir. Dari mana asalnya budaya ini?
Majlis perkahwinan dikatakan mula dijadikan budaya masyarakat seawal zaman tamadun Mesopotamia, kira-kira 2350 Sebelum Masehi (4,330 tahun yang lalu). Sebelum itu perkahwinan tidaklah jadi sebuah majlis, tetapi lebih kepada penyatuan keluarga sahaja.
Perkahwinan kemudiannya dijadikan keraian, dan disambut sebagai pesta meraikan pasangan yang bakal menempuh cabaran apabila mempunyai keluarga. Ia kemudiannya dijadikan budaya oleh semua bangsa.
Jadi tradisi nasi minyak ini bermula di Yaman, terutamanya orang Hadhrami. Orang Hadhrami tinggal di Hadhramawt, Yaman, yang merupakan orang yang membina tamadun Arab yang pertama, iaitu Tamadun Saba’.
Menurut pengkaji sejarah Asia Barat dari University of Liverpool, Kenneth Kitchen, tamadun Saba’ ini muncul sejak 1200 Sebelum Masehi di Ma’arib. Jadi budaya dari Mesopotamia ini datang ke Saba’ melalui jalan perdagangan. Dan di kawasan ini, mereka berdagang dengan orang di India, terutamanya di Tamadun Harappa.
Salah satu makanan yang popular dari kalangan masyarakat Hadhrami ialah nasi mandi, iaitu nasi yang dimasak dalam tandoor iaitu periuk tanah liat. Adakalanya mereka masak di dalam tanah, dengan menggali lubang dan masak di dalamnya.
Ia kemudiannya jadi budaya orang di India khususnya orang Malabar, iaitu menyambut majlis perkahwinan dengan memasak nasi mandi versi mereka, yang akhirnya jadi nasi biryani, yang berasal dari perkataan Parsi (birinj) yang bermaksud ‘nasi’. Jadi nasi biryani ialah ‘nasi nasi’.
Budaya ini tiba di Nusantara dari orang Afghanistan yang tiba di sekitar Betawi, yang membuat Kabuli Pilaf. Pilaf ialah masakan gaya zaman Abbasiyah, yang kemudiannya ke Sepanyol menjadi paella dengan menggunakan makanan laut.
Jadi apabila makanan ini popular di Betawi, ia kemudiannya menjadi budaya orang Betawi membuat nasi kebuli yang berasal dari Kabuli Pilaf ini. Orang Betawi ini tinggal di Kesultanan Banten, yang termasuk juga dengan Lampung di Sumatera.
Ia kemudian menjadi popular apabila anak putera Sultan Palembang berkahwin, dan nasi kebuli ini menjadi trend pada ketika itu di Alam Melayu. Ia kemudian merebak ke Inderagiri, Siak, Kampar, Riau, sehingga Johor. Johor, yang mempunyai masyarakat Hadhrami, juga memasak nasi ini. Disebabkan ia menggunakan minyak sapi (ghee), ia menyebabkan tangan sering berminyak apabila makan dan sukar disental. Memandangkan susah benar nak menyebut nasi kebuli, orang Melayu panggil sahaja nasi minyak.
Dan kini, nasi minyak sering disinonimkan dengan majlis perkahwinan, walaupun di Pantai Timur seperti di Terengganu, nasi minyak dibuat sarapan sahaja. Terima kasih kepada Puan Eleena M. akan informasi yang diberikan mengenai asal usul nasi minyak ini.