Mengenang Kembali- Datuk Sharifah Aini, Biduanita Negara
Mungkin generasi baru kurang kenal dengan Datuk Sharifah Aini. Mungkin pernah mendengar namanya tetapi tidak mengenali sepenuhnya biduanita negara yang sangat popular pada era 90-an. Kalau ikutkan Sharifah Aini atau nama penuhnya Sharifah Aini binti Syed Jaafar setara Siti Nurhaliza lah pada zaman sekarang.
Mempunyai suara yang merdu bak buluh perindu, Sharifah Aini adalah seorang penyanyi, pelakon dan juga ikon yang sangat dinantikan kemunculannya meskipun. Min pun rindukan persembahan Sharifah Aini di atas pentas dan kehilangannya amat dirasai bukan sahaja oleh peminatnya tetapi seluruh penggiat industri muzik.
Di era kegemilangan Sharifah Aini dahulu, di era 70an, Sharifah adalah artis Malaysia pertama yang membawa gelaran Superstar. Gelaran ini diberikan kepadanya sebagai tanda penghormatan di atas kejayaannya yang telah mengharumkan nama negara sekaligus mencipta nama di peringkat antarabangsa. Selain Sharifah Aini, artis lain yang juga memegang gelaran yang sama ialah Anita Sarawak. Artis wanita yang juga terkenal di era 70an adalah Uji Rashid.
Pernah suatu ketika dahulu, Sharifah Aini dan Anita Sarawak dikatakan bersaing. Banyak juga pihak yang mengkritik mereka dari segi pakaian dan juga penampilan. Namun begitu, Sharifah tetap laris dengan menggunakan suaranya. dia juga merupakan ikon kepada masyarakat.
Menyingkap kehidupan awal Sharifah Aini, ibu bapanya merupakan warganegara Singapura dan Sharifah Aini telah dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor, dan dibesarkan di Kampung Majidee, Johor Bahru. Dia tinggal bersama datuk serta neneknya untuk dirawat dan bersekolah di sekolah agama bahasa Arab. Sharifah Aini berkebolehan mengalunkan ayat suci al-Quran dah pernah menjuarai tilawah Al-Quran beberapa kali pada usia mudanya. Sewaktu kecil lagi, Sharifah sudah terkenal di Johor.
Selain aktif dengan bidang nyanyian di sekolah, Sharifah Aini juga turut menolong neneknya menjual pelbagai jenis kuih hasil buatan neneknya sendiri di merata tempat di Johor. Di usia belasan tahun pula, dia telah bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau begitu popular sewaktu di zaman sekolahnya dahulu. Sharifah Aini sering diundang menyanyi di majlis-majlis anjuran sekolah setiap kali majlis diadakan. Bukan sahaja sering diundang menyanyi di sekolahnya, malahan di sekolah-sekolah lain di Johor Bahru seperti Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Girl School, Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Tun Aminah dan Sekolah Menengah Tun Fatimah juga turut mengundangnya menyanyi ketika mengadakan majlis tertentu di sekolah tersebut. Selain memenuhi undangan nyanyian di beberapa majils anjuran sekolah, Sharifah Aini juga menjadi artis jemputan di majlis-majlis perkahwinan dan juga majlis perasmian.
Setelah menamatkan pengajian hingga di Tingkatan Lima di sekolahnya, Sharifah Aini berhasrat untuk menceburi bidang nyanyian. Selain berminat dalam bidang nyanyian, dia juga pernah bercita-cita untuk menceburi bidang kedoktoran. Namun, Sharifah Aini akhirnya memilih jalan untuk ke bidang nyanyian kerana itulah jalan terbaik bagi meringankan beban datuknya untuk menyara hidup mereka yang ketika itu amat susah.
Di era 70-an dahulu, artis yang sering menjadi penghias muka depan majalah kebanyakannya adalah artis wanita yang terkenal. Antara artis yang pernah menjadi penghias muka depan majalah ialah Sharifah Aini, Anita Sarawak, dan Uji Rashid. Tiga artis wanita terkenal ini merupakan antara artis paling laris ketika itu. Sharifah adalah antara artis penghias muka depan majalah yang terlaris di Malaysia.
Sharifah bukan sahaja mengadakan persembahan di rantau Asia, Sharifah Aini juga telah mengadakan beberapa konsert di Eropah dan populariti Sharifah begitu meluas di Asia Timur Tengah. Selain itu, dia juga mempunyai peminat yang begitu ramai di Timur Tengah.
Ketika popularitinya sedang memuncak di era 70an dahulu, Sharifah juga menerima pelbagai-bagai gelaran. Antaranya seperti Elizabeth Taylor Malaysia, Dolly Parton Malaysia, Sparkles Diamond Of EMI Malaysia Ratu Muzik Malaysia dan berbagai lagi. Sharifah Aini juga pernah diberi gelaran Royalty Singer oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad kerana Sharifah Aini adalah artis paling banyak menghasilkan album ketika itu.
Sharifah Aini memulakan kariernya selepas memenangi tempat pertama dalam pertandingan Bintang Radio Television Singapura 1968 atau Talent Time 68′ dengan mendendangkan lagu “Tiga Malam”. Dia juga merupakan artis pertama Malaysia bergelar “Superstar” sewaktu zaman kemuncak kemilangannya. Sharifah Aini juga menjadi satu-satunya artis pujaan ramai sewaktu zaman 70’an, 80’an dan 90’an secara berturut- turut sehingga ke beberapa benua. Walaupun terdapat artis lain yang kurang hebatnya juga seperti Rafeah Buang dan Anita Sarawak tetapi Sharifah Aini tetap menjadi pilihan utama sehingga mendapat berbagai gelaran pujaan antaranya seperti Biduanita Pujaan Ramai, The Golden Voice, Queen of Songs dan banyak lagi. Namun di Malaysia Sharifah Aini merupakan satu-satunya artis yang mempunyai suara yang merdu sehingga mendapat jolokan penyanyi bersuara Buluh Perindu. Setiap lagu dengangannya pasti akan membuatkan pendengar terpukau.
Penyanyi berdarah kacukan Melayu-Arab ini banyak menghasilkan album untuk setiap dekat buat jutaan peminat di luar sana sehingga 140 album. Sharifah Aini juga merupakan artis yang banyak menyanyi berlatarkan suasana orkestra pada skala mega yang menjadi kegemaranya dan diakui sendiri rakan sekerja seperti Datuk Ramli MS seorang komposer terkemuka. Di Malaysia bakatnya banyak diasah oleh komposer tersohor negara Yang Berbahagia Dato Dr Ahmad Nawab.
Pada tahun permulaan 2000 Sharifah Aini banyak membuat persembahan tertutup untuk menyara badan-badan amal. Hajat terakhirnya tidak kesampain buat jutaan peminatnya di luar sana yang berhasrat membuat konsert berskala mega yang menghimpunkan barisan ahli-ahli muzik orkestra sebanyak 200 orang dedah Datuk Ramli Ms sewaktu di temubual oleh Datuk Aznil Nawani dalam sebuah program terbitan ASTRO “Mengenang Sharifah Aini”.
Di Malaysia, Sharifah Aini juga merupakan antara satu-satunya artis yang paling lama bertahan dengan satu syarikat rakaman iaitu EMI Malaysia sehingga syarikat tersebut menutupkan operasinya untuk bergabung bersama syarikat gergasi dunia. Sebagai satu penghargaan, namanya telah diabadikan dalam Malaysian Book of Records bagi membalas jasa dan budi beliau kepada negara yang telah membawanya hingga ke peringkat antarabangsa.
Sharifah Aini juga merupakan satu-satunya penyanyi Melayu yang berjaya melahirkan album solo baru di setiap 5 dekad.
Sharifah Aini meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi pada 5 Julai 2014, di Pusat Perubatan Pakar Damansara, dari komplikasi fibrosis paru paru (pulmonaty fibrosis) ketika berusia 61 tahun. Dia telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada 1 Julai 2014. Jenazah telah dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Doktor Ismail selepas solat Subuh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor.