Jenis Urutan Ibu Berpantang
Satu aspek penjagaan kesihatan reproduktif wanita yang semakin diambil berat adalah perkhidmatan penjagaan selepas bersalin. Berpantang adalah proses wajib di mana wanita yang baru lepas bersalin perlu berpantang untuk menyembuhkan semula tubuh badan dan kekuatan diri. Berpantang juga dilakukan untuk mendapatkan semula tubuh badan yang asal.
Urutan boleh dilakukan selepas 3 hari bersalin atau 5 hari selepas bersalin. Urutan tidak diberikan sebelum 3 hari bersalin kerana pada waktu itu badan wanita masih lemah dan boleh berlaku masalah demam atau pendarahan selepas berurut.
Semasa berpantang, ada satu perkara yang wajib dilakukan oleh semua wanita yang berpantang. Ia adalah urutan tradisional yang wajib dilakukan. Urutan ini dilakukan bagi membetulkan semula urat-urat badan dan melegakan sendi-sendi tulang. Urutan berpantang ini lazimnya untuk memberikan kelegaan dan kesan emosi yang menenangkan. Tetapi perlu diingatkan jangan pilih sembarangan tukang urut kerana bimbang memudaratkan.
Namun ada jenis-jenis urutan badan bagi wanita yang berpantang. Apakah urutan tersebut?
Mari kami kongsikan kepada anda mengenai jenis-jenis urutan selepas bersalin yang ramai tidak tahu. Info ini dikongsikan oleh Puan Siti Aisyah. Puan Aisyah merupakan bidan dan tahu tentang cara-cara berpantang selepas bersalin. Puan Aisyah juga gemar berkongsikan tips mengenai berpantang selepas bersalin di laman Facebooknya.
4 Jenis urutan selepas bersalin
1. Urutan Pulih Badan
Ia dilakukan 3 jam selepas bersalin. Sapuan minyak berubat keseluruh badan membantu mengelak meroyan, melegakan otot selepas bersalin dan melancarkan pengeluaran susu ibu.
2. Urutan Selepas Bersalin
Ia dimulakan 72 jam selepas bersalin. Urutan tekanan lembut dan sederhana membantu memperbetulkan urat saraf ibu agar midah ibu buang angin, buang air dan lancar nifasnya.
3. Urutan Penutup Pantang
Pada hari ke 30. Meletakkan kembali kedudukan batu merian atau pangkal rahim ke tempat atau sarangnya. Jika tidak dilakukan dengan betul, ibu mudah diserang bentan dan sakit pinggang berpanjangan selepas bersalin.
4. Urutan Pelepas Pantang
Selepas hari ke 44. Mempersiapkan ibu mendepani kehidupan alam rumahtangga yang lebih sibuk agar ibu tidak mudah diserang sakit urat dan sendi.
Setiap urutan mempunyai teknik, tekanan dan arah urutan yang berbeza2. Urutan yang terbaik mampu melegakan kesakitan otot, mengurangkan stress, melancarkan pengeluaran susu badan dan memudahkan ibu tidur.
*Urutan selepas bersalin amat penting bagi wanita yang baru lepas mengeluarkan tenaga untuk melahirkan anak. Urutan ini selain dapat mengembalikan bentuk tubuh badan, ia juga dapat menghilangkan tekanan wanita selepas bersalin. Secara tak langsung, ibu akan jauh berisiko untuk meroyan apabila kesihatan ibu terjaga dengan baik. Biasanya, urut selepas bersalin akan disertai dengan pemakaian bengkung untuk bantu ibu cepat kembali ke bentuk asal. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.