Tanda-tanda Kanser Ovari
Kebelakangan ini, kita seringkali didedahkan dengan isu penyakit kanser ovari. Seperti yang kita kongsikan pada topik lepas, penyakit ini dikategorikan sebagai pembunuh senyap. Ini kerana jika penyakit ini tidak dikawal, kanser akan mula merebak. Kanser ovari merupakan salah satu kanser yang paling kerap menyerang golongan wanita. Ini sangat memudaratkan kesihatan anda kerana kanser ovari adalah penyakit yang mempunyai kadar mortaliti (kematian) yang tinggi . Ramai penyakit wanita (75%) hanya dikenal pasti apabila penyakit barah mereka sudah berada di peringkat akhir dan 140,000 wanita meninggal dunia akibat penyakit ini setiap tahun di seluruh dunia.
Antara rawatan-rawatannya terdiri daripada pembedahan debulking (pengurangan saiz barah sebanyak mungkin semasa pembedahan yang dipanggil laparotomy – biasanya melalui potongan panjang yang menegak pada abdomen) dan enam kitaran kemoterapi. Susunan kedua-dua rawatan diberikan bergantung kepada tahap penyakit merebak (berapa meluas penyakit merebak) dan kesihatan umum pesakit.
Tetapi tahukah anda tanda jika seseorang wanita terkena kanser ovari?
Sekiranya seorang wanita mempunyai kanser ovari, tubuh badannya akan mengeluarkan tanda atau simptom.
Sebagai seorang wanita, adalah sangat penting untuk kita mengetahui apakah tanda kanser ovari kerana kanser yang dikesan pada peringkat awal dan diberikan rawatan dengan segera mempunyai peratusan untuk pulih yang lebih tinggi berbanding kanser ovari yang dikesan pada tahap yang serius. Di antara tanda kanser ovari ialah:
Kerap kencing tanpa mengetahui puncanya
Kebiasaannya kita akan kencing dengan lebih banyak daripada biasa jika minum air lebih banyak daripada normal atau pun jika kita berada di tempat yang sejuk. Ia adalah sesuatu yang normal.
Walau bagaimana pun, jika secara tiba-tiba anda kencing dengan terlalu kerap tanpa sebab yang dapat dikenal-pasti kemungkinan besar ia adalah petanda bahawa anda mempunyai kanser ovari.
Perut tidak selesa dan mual-mual lebih daripada 3 minggu
Tanda kanser ovari yang seterusnya ialah pesakit akan mengalami masalah perut tidak selesa serta mual-mual. Perut yang tidak selesa yang dimaksudkan di sini ialah anda akan berasa kembung, senak, dan rasa seolah-olah makanan tidak hadam.
Tidak semestinya anda berasa sakit perut. Oleh itu, jika anda berasa perut tidak selesa untuk tempoh yang lama dan dalam masa yang sama berasa mual-mual, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar yang segera untuk mendapatkan pemeriksaan kerana dikhuatiri anda telah mendapat kanser ovari.
Sakit pada bahagian bawah perut
Organ peranak wanita berada di bahagian bawah perut. Jika anda sakit pada bahagian tersebut, ini bermakna anda sedang mengalami rasa sakit pada organ peranakan.
Pesakit kanser ovari biasanya akan mengalami sakit atau kekejangan pada bahagian bawah perut. Anda mungkin mengalami rasa sakit seperti senggugut yang berpanjangan dan bukannya masa anda datang haid.
Perubahan pada selera makan
Pesakit kanser ovari biasanya akan mengalami perubahan pada selera makan. Mereka mungkin akan hilang selera makan secara tiba-tiba. Atau mungkin juga secara tiba-tiba menjadi seorang yang cepat makan. Selain itu, pesakit kanser ovari juga berkemungkinan untuk berasa kenyang dengan cepat semasa makan. Perubahan pada selera makan ini biasanya berlaku dalam tempoh yang lama iaitu lebih kurang 3 minggu.
Perut menjadi semakin buncit
Wanita yang mengidap kanser ovari biasanya mempunyai perut yang buncit. Oleh itu, jika secara tiba-tiba perut anda menjadi buncit tanpa kenaikan pada bahagian lain tubuh badan, ia adalah salah satu tanda kaner ovari yang perlu anda perhatikan.
Sentiasa berasa penat dan lesu
Kepenatan yang melampau tanpa sebab juga adalah di antara tanda kanser ovari yang perlu anda perhatikan. Seseorang yang normal akan berasa segar dan sihat setiap kali bangun tidur dan cuma akan keletihan selepas berkerja sepanjang hari atau selepas melakukan aktiviti lasak yang memenatkan.
Namun jika anda sentiasa berasa penat setiap masa tanpa melakukan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan anda keletihan, hati-hati. Itu adalah petanda bahawa ada yang tak kena dengan tubuh badan anda.
Itulah dia info tentang kanser ovari yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda disahkan mengidap kanser ovari, jangan terus putus asa.